Friday, July 20, 2012

AKTIVITI MENCANDAT SOTONG.

Pada Jumaat bersamaan 22 Jun 2012 yang lalu, Baitul Taubah mengadakan aktiviti tahunan mancandat sotong khas buat anak bina lama. Aktiviti ini disertai oleh 6 orang anak bina lama yang diiringi Ustaz Supian, En Phakarudin dan En. Rhaimy. Rombongan bertolak pada pukul 12.00tghr dan tiba di Chendering dalam pukul 4.00 ptg. Mereka singgah di rumah empunya bot, yang juga merupakan bekas anak bina di Baitul Taubah. Tepat jam 5.00 petang mereka bertolak untuk mencandat sotong dan pulang semula dalam pukul 2.00 pagi.

Tahniah buat mereka yang julung-julung kali dapat menimba pengalaman mencandat sotong. Perubahan anda, kebanggaan kami. Semoga kekal dalam jalan kebaikan...

Sunday, November 20, 2011

BUKU "RAWATAN PEMULIHAN DADAH & RUNTUH AKHLAK"



Baitul Taubah telah mengeluarkan sebuah buku bertajuk ‘RAWATAN PEMULIHAN DADAH & RUNTUH AKHLAK’, karangan Tuan Haji Ubaidah bin Yaakub yang merupakan Ketua Sekretariat Baitul Taubah.
Buku tersebut mempunyai maklumat tentang pentadbiran dan kaedah pemulihan yang dijalankan di Baitul Taubah secara terperinci. Selain perkembangan Baitul Taubah sejak dibuka pada tahun 2008, buku tersebut juga mempunyai maklumat statistik dadah di Malaysia, jenis-jenis dadah dan kesannya.
Sebagai salah satu saluran sumbangan kepada Baitul Taubah, buku ini dijual dengan harga RM15 sebuah. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku ini boleh berhubung dengan Puan Armilia di talian 019-936 9155.

Tuesday, May 10, 2011

PENANAMAN TIMUN

Baja sedang ditabur
Batas dibuat berserta pemasangan kayu junjung menggunakan kayu hutan dan tali rafia

Anak timun yang telah dipindahkan dari polibeg

Timun mula berbuah
Pembungkusan timun ke dalam plastik siap untuk dipasarkan

Bermula 20 Febuari 2011, Baitul Taubah memulakan usaha pertanian kecil-kecilan dengan menanam timun secara konvensional (diatas tanah). Penanaman timun ini hanya menggunakan bahan-bahan seperti kayu junjung, tali rafia, baja, silvershine (hamparan plastik), polibeg dan benih timun.


Pada peringkat awal, kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja penanaman dijalankan. Diikuti dengan kerja-kerja pengemburan tanah dan seterusnya menabur baja, membuat batas, pemasangan hamparan plastik, serta membuat kayu junjung bagi tujuan menyokong untuk tumbuhan memanjat. Dalam pada itu juga mereka menanam biji benih ke dalam polibeg yang kemudiannya setelah cukup satu minggu telah dipindahkan ke batas-batas yang telah siap diusahakan. Kerja-kerja ini dilakukan bersungguh-sungguh oleh pembina bersama-sama anak bina terutamanya yang mempunyai minat dalam bidang pertanian.


Tempoh kerja-kerja penanaman hanya mengambil masa 40 hari perolehan hasil sehingga boleh dipasarkan. Setiap dua hari sekali sehingga hari ini timun-timun masih lagi dipunggut untuk dijual. Timun-timun ini telah dibungkus sebanyak 7 kg bagi setiap plastik bagi tujuan pasaran. Hasil jualan timun telah memberikan pulangan modal berserta dengan keuntungan.


Melihat kepada kejayaan yang diperolehi memberi semangat kepada pembina dan anak bina untuk terus bercucuk tanam. Mereka bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah malah dapat berbudi kepada tanah dari terbiar tanpa diusahakan. Selain itu, kerja-kerja pertanian ini memberi peluang kepada mereka untuk mendalami lebih mendalam proses penanaman yang dilakukan dan seterusnya boleh dipraktikkan oleh mereka apabila mereka keluar nanti.

PERLAWANAN SEPAK TAKRAW

Pertandingan sedang berlangsung
Bergambar kenangan bersama hadiah masing-masing

Perlawanan sepak takraw menggabungkan anak bina bersama-sama pembina telah diadakan di Baitul Taubah pada 1 Februari 2011. Perlawanan ini telah berlangsung selama 2 minggu ekoran keadaan cuaca yang kurang baik sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa ditunda beberapa kali.

Setiap pasukan yang dianggotai 3 orang pemain, bermain dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat untuk memperoleh kemenangan. Sikap yang ditunjukkan ini boleh menjamin penghuni Baitul Taubah hidup lebih harmoni sesama mereka serta dapat menjalani gaya hidup sihat.

Pada akhir perlawanan menyaksikan kemenangan tempat pertama adalah milik kumpulan yang hanya dianggotai oleh anak bina sahaja. Mereka menerima hamper yang disampaikan oleh Ustaz Supian selaku pembina di Baitul Taubah.

LAWATAN AADK PUTRAJAYA DAN AADK PASIR PUTEH KE BAITUL TAUBAH

Pelawat dari AADK tiba di perkarangan Baitul Taubah

Kehadiran AADK disambut oleh warga Baitul Taubah

Sesi bertukar buah fikiran

Pada 18 Januari 2011, Baitul Taubah menerima kunjungan lawatan dari AADK Putrajaya dan AADK Pasir Puteh. Dalam lawatan ini, seramai 4 orang adalah wakil dari AADK Putrajaya yang diketuai oleh Ustaz Roslan bin Said selaku Pengarah Agama dan 3 orang wakil dari AADK Pasir Puteh yang diketuai oleh Pn. Suriani Mustapha selaku Pengarah AADK Negeri Kelantan.

Dalam lawatan ini, banyak persoalan yang dikongsi bersama sambil bertukar-tukar buah fikiran. Persoalan-persoalan tersebut lebih berkait rapat tentang keadaan sosial masa kini seperti keresahan dalam menangani masalah remaja yang semakin ramai terlibat dengan dadah serta mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah tersebut. Di samping itu, para hadirin turut menyentuh tentang kaedah pemulihan yang digunapakai di Baitul Taubah.

Setelah itu, pelawat dibawa melawat kawasan Baitul Taubah terutamanya bilik detok. Mereka berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan beberapa penagih yang masih ditempatkan di bilik tersebut. Kemudiannya mereka dibawa melawat ke asrama-asrama penghuni serta kawasan sekitar Baitul Taubah.

Thursday, March 17, 2011

MAJLIS TALQIN

Pada 24 Febuari 2011, Baitul Taubah telah menerima kedatangan Ustaz Manan selaku guru mursyid bagi menyempurnakan "Majlis Talqin". Majlis ini diadakan bagi melaksanakan pengijazahan zikir khusus kepada anak bina baru dan umumnya turut serta oleh semua penghuni Baitul Taubah iaitu anak bina lama serta pembina dalam memantapkan lagi zikir yang sedia ada.

Pada hari tersebut, majlis ini telah diadakan selepas solat Asar. Dalam majlis ini, Ustaz Manan telah memberikan pengijazahan zikir kepada semua anak bina baru serta menyampaikan ceramah mengenai zikir dan cara-cara zikir yang betul.

Wednesday, February 16, 2011

PROJEK TERNAKAN LEBAH

Ustaz Supian, Ustaz Zulman serta anak bina bergambar
bersama-sama Frame Royal Jelly yang dipenuhi lebah

Pada 25 Januari 2011, Baitul Taubah telah menerima kehadiran En. Mohd Hisyamuddin b. Ghazali yang merupakan pegawai dari Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd.

Kedatangan beliau bertujuan mengenalpasti ratu lebah di samping memberi penerangan mengenai lebah serta pengurusannya. Dalam penerangan tersebut telah diperkenalkan jenis-jenis lebah (ratu lebah, lebah jantan dan lebah pekerja), larva serta madu. Selain itu, didedahkan juga cara-cara mengawal suhu, menutup sarang lebah dan lain-lain lagi.

Hasilnya, pembina serta anak bina yang terlibat memperoleh keberanian dalam pengendalian penternakan lebah dengan cara yang betul dan menjamin projek ternakan lebah dapat berjalan dengan lancar.